Islam amat menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha mencari rezeki sebagai memenuhi tuntutan dan tanggungjawab kehidupan di dunia ini.
Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat ke 105. Maksudnya ;
“Dan Katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan”.
Pekerjaan itu sendiri sebenarnya merupakan suatu ibadat yang akan dihitung oleh Allah SWT di hari akhirat kelak. Firman-Nya di dalam surah Az-Zalzalah ayat ke 7 – 8 Maksudnya;
“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”.
Apa sahaja pekerjaan yang dilakukan oleh manusia di atas muka bumi ini pasti tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah SWT. Mereka akan dipersoalkan satu demi satu sehingga jelaslah semua pekerjaan yang mereka lakukan di dunia ini. Sekiranya mereka melakukan pekerjaan yang baik lagi halal maka akan berbahagialah mereka di hari perhitungan kelak. Sebaliknya bagi mereka yang melakukan pekerjaan jahat dan haram maka keadaan mereka akan menjadi hina dan tercela pada hari tersebut.
Syariat Islam telah membahagikan jenis pekerjaan kepada dua bahagian iaitu pekerjaan yang halal dan pekerjaan yang haram. Menurut Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi, bahawa perkara yang halal itu ialah setiap perkara yang diharuskan dan diberi keizinan oleh syarak untuk melakukannya. Manakala perkara yang haram pula ialah yang ditegah oleh syarak sekira-kira ia akan mendapat balasan buruk di akhirat, bahkan ada kalanya di dunia ini lagi.
Sememangnya sesuatu pekerjaan itu sama ada halal atau haram, selagi mana ianya dilakukan dengan bersungguh-sungguh pasti akan mendatangkan hasil yang lumayan. Bahkan tidak dinafikan juga, dalam keadaan ekonomi pada hari ini yang masih tidak stabil, manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan wang ringgit dan harta kekayaan. Namun sebagai seorang yang beriman, kita seharusnya memikirkan tentang dosa dan pahala serta kesan buruk akibat daripada sikap tidak berhati-hati memilih sesuatu pekerjaan.
Janganlah kita hanya memikirkan keuntungan dunia samata-mata, sedangkan pada hakikatnya keuntungan yang kita perolehi itu tidak membawa sebarang keberkatan bahkan sebaliknya akan mendatangkan bencana pula di hari akhirat kelak.
Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. bersabda Bermaksud:
“Akan datang suatu zaman ke atas umatku di mana seseorang itu tidak peduli dari usaha apakah harta yang dimilikinya itu sama ada secara halal atau pun haram”.
Allah SWT tidak akan melepaskan hamba-Nya daripada siksaan di hari akhirat kelak sekiranya harta benda yang dimilikinya ketika di dunia diusahakan daripada pekerjaan yang tidak halal. Oleh kerana itu, sebagai seorang yang beriman kita tidak seharusnya melakukan pekerjaan di premis-premis arak, judi, pelacuran dan sebagainya yang salah di sisi syariat. Bekerja di premis-premis seperti ini hanya akan mendatangkan sumber pendapatan yang tidak mendapat keberkatan di sisi Allah SWT. Hasil usaha yang tiada keberkatannya ini sudah pasti akan memberikan banyak kesan buruk di dalam kehidupan kita sama ada di dunia ini mahupun di akhirat nanti.
”Setiap daging yang tumbuh dari pekerjaan yang haram, maka
neraka itu lebih utama baginya”.Oleh kerana pekerjaan yang halal dan baik itu merupakan suatu ibadat, maka Allah SWT telah menyediakan beberapa ganjaran kebaikan kepada umatnya. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai suatu dorongan kepada umat Islam agar memilih pekerjaan yang halal dan diredhai oleh Allah SWT.
Antaranya ;- Kita akan mendapat penghidupan yang baik dan diberkati oleh Allah SWT.
- Kita juga akan diberikan kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT apabila bertemu dengan-Nya di hari akhirat kelak.
- Ganjaran besar yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat-Nya yang melakukan pekerjaan-pekerjaan yang baik ialah penghidupan di syurga beserta rezeki yang melimpah-ruah.
Demikianlah beberapa ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada umat Islam apabila mereka melakukan pekerjaan-pekerjaan yang baik dan menjauhi pekerjaan-pekerjaan yang dilarang oleh syariat Islam di dunia ini.
Sekalipun pekerjaan yang tidak halal ini menyediakan ganjaran dunia yang amat
lumayan, namun kita sebagai umat Islam hendaklah menyedari bahawa ganjaran
yang disediakan oleh Allah SWT itulah yang kekal abadi.Sesungguhnya Islam tidak pernah melarang umatnya memiliki harta kekayaan. Malahan mereka amat digalakkan untuk mencari kekayaan dengan pekerjaan yang halal. Apatah lagi sekiranya harta kekayaannya itu digunakan pada perkara-perkara kebaikan seperti zakat, infaq, wakaf, bersedekah, menolong umat Islam yang lain, menafkahkannya pada jalan Allah dan lain-lain lagi.
Oleh kerana itu, untuk mendapatkan kekayaan, umat Islam mestilah berusaha dan bekerja. Manakala pekerjaan yang dipilih itu pula mestilah pekerjaan yang halal agar kekayaan yang bakal dimiliki akan mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.
No comments:
Post a Comment