Alhamdulillah, sekali lagi penulis berpeluang menghadiri siri kuliah maghrib di Surau Al-Asmah bersama-sama ahli qariah yang setia. Hari ini, giliran Ustaz Moin menyampaikan pesanan mengenai takwa dan tawakkal.
Menurut ulasan Ustaz Moin, rezeki yang diberikan Allah bukan sepenuhnya kerana usaha kita, akan tetapi sebenarnya atas berkat takwa kita kepada Allah. Usaha itu adalah perkara kedua dalam mendapat rezeki dari Allah. Beliau memberikan contoh kisah 7 pemuda yang tidur didalam gua selama beberapa tahun dalam Surah Al-Kahfi. Menurut Ustaz Moin, Allah memberikan rezeki kepada mereka untuk tidur bagi jangka waktu yang lama tanpa rasa lapar dan dahaga. Malah mereka bangun juga tanpa rasa penat atau letih atas sebab tidur. Tiada usaha yang dilakukan oleh 7 pemuda itu namun Allah memberikan rezeki kepada mereka kerana sifat takwa kepada Allah tanpa berbelah bagi.
Begitu juga contoh kedua, Siti Hajar, isteri kepada Nabi Ibrahim. Apabila, Siti Hajar mengetahui suaminya, Nabi Ibrahim, akan meninggalkan beliau di tengah padang pasir atas perintah Allah, maka Siti Hajar redha dan menyerahkan segalanya kepada Allah. Dengan sifat takwa itulah maka Allah memberikan rezeki kepada Siti Hajar dengan air zam-zam yang kita juga dapat merasainya.
Penulis tertarik cerita tentang takwa ini bila Ustaz Moin kaitkan dengan ayat seribu dinar. Ayat ini memang popular dikalangan kita. Ramai yang menggantung tulisan ayat seribu dinar di rumah dan tempat perniagaan kononnya akan mendapat rezeki dari Allah.
Tetapi, Ustaz Moin nyatakan tentang maksud ayat seribu dinar itu.
"Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dari malapetaka di dunia dan akhirat. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya"
Ini bermaksud, mereka yang benar-benar bertakwa kepada Allah yang akan mendapat bantuan dari Allah keluar dari masalah yang dihadapi. Dan mereka yang bertakwa jugalah yang akan mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka dari Allah. Oleh itu, kita perlu perbetulkan kepercayaan kita kepada ayat tersebut. Hanya takwa yang sebenar-benarnya kepada Allah akan membantu kita keluar dari masalah yang dihadapi serta mendapat rezeki dariNya
Wallahualam.
Moga Allah ampuni penulis kiranya ada kesilapan.
No comments:
Post a Comment